Bekas Ketua Agensi Perisikan Malaysia Buat Laporan Polis Berhubung Kebocoran Surat Kepada CIA
2018.07.31
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas ketua agensi perisikan Malaysia pada Selasa meminta polis untuk mengesan kebocoran surat rahsia yang ditulisnya kepada CIA, yang meminta sokongan Washington bagi kerajaan Perdana Menteri Najib Razak beberapa hari sebelum ia ditumbangkan dalam pilihan raya umum Mei lalu.
Hasanah Abdul Hamid, yang menulis surat itu kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat Gina Haspel semasa beliau mengetuai Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), membuat laporan polis itu bagi meminta siasatan dilakukan.
MEIO, secara rasminya dikenali sebagai bahagian penyelidikan Pejabat Perdana Menteri, merupakan sebuah agensi perisikan rahsia yang ditubuhkan pada 1960-an.
Surat itu, yang bertarikh 4 Mei - lima hari sebelum pilihan raya umum- diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, kata Hasanah dalam laporannya kepada polis.
Beliau meminta siasatan dibuat bagi mengesan mereka yang telah melanggar Akta Rahsia Rasmi dengan membocorkan kandungan surat itu kepada umum, menurut peguamnya, Shaharudin Ali, yang mengiringi anak guamnya itu ke balai polis Travers di Kuala Lumpur bagi membuat laporan itu.
Hasanah mengesahkan dalam laporan polis itu, yang salinannya dilihat oleh BeritaBenar, bahawa beliau menulis surat itu.
Shaharudin memberitahu satu sidang media bahawa anak guamnya bimbang dengan keselamatan dirinya serta mereka yang bertugas di lapangan berikutan kebocoran surat itu.
"Kebocoran itu juga boleh menjejaskan agensi perisikan lain," katanya.
Mereka yang melanggar undang-undang yang melindungi rahsia rasmi itu boleh dihukum penjara maksimum seumur hidup, jika didapati bersalah.
Hasanah, yang telah diarah melepaskan jawatannya itu, tidak menghadiri sidang media berkenaan kerana bimbang mengenai keselamatan dirinya, kata Shaharudin.
Salinan surat kontroversi itu mula diedarkan dalam media sosial awal bulan ini.
Surat tiga muka surat itu meminta sokongan AS untuk kerajaan Najib "walaupun jika kami menang pilihan raya dengan majoriti mudah ataupun hanya satu kerusi sahaja," dan menyatakan Najib akan menjadi sekutu yang kuat bagi Washington berbanding dengan Mahathir Mohamad, yang menjadi perdana menteri selepas parti pembangkang pimpinannya memperoleh kemenangan mengejutkan pada pilihan raya itu.
Surat itu menggambarkan Mahathir sebagai "anti-Barat dan anti-Yahudi".
Najib, yang menafikan tahu tentang kewujudan surat itu, berkata tidak semua surat kerajaan melaluinya ketika beliau menjadi perdana menteri. Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa perkara-perkara berkaitan perisikan perlulah kekal sebagai rahsia.
Pegawai-pegawai dalam kerajaan Mahathir telah meminta siasatan dibuat tentang mengapa surat itu dihantar ke CIA, dan menyatakan bahawa tindakan itu mungkin melanggar kedaulatan Malaysia.
"Surat menyurat antara dua agensi perisikan peringkat tinggi adalah urusan operasi, yang termasuk pertukaran pendapat dan ini bukan perkara yang memerlukan perhatian perdana menteri," kata Shaharudin.
Beliau menolak dakwaan bahawa Najib yang mengarahkan supaya surat itu ditulis.
Surat itu telah dirangka oleh Hasanah dan 10 pegawai kanan MEIO, katanya.
Minggu lalu, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang dianggotai bekas tentera Malaysia, memfailkan laporan polis berasingan terhadap Hasanah dengan mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa dan melanggar kedaulatan Malaysia.
"Saya percaya adalah salah bagi beliau untuk menulis surat itu yang menjemput kuasa asing untuk campur tangan dalam proses demokrasi kita," kata presiden persatuan itu Arshad Raji kepada BeritaBenar.