Malaysia Catat Empat Kes Koronavirus
2020.01.25
Kuala Lumpur, Malaysia

Seorang pegawai kesihatan Malaysia memberikan risalah kepada penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di daerah Sepang dalam negeri Selangor, 21 Jan 2020.
Pegawai kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa empat jangkitan koronavirus telah disahkan pada Sabtu, sekali gus menjadikan negara itu yang keempat di Asia Tenggara yang menyaksikan kemunculan virus tersebut.
Pada awal Sabtu, Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa tiga rakyat China – seorang warga emas wanita berusia 65 tahun dan dua cucu lelakinya – telah dijangkiti dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh di Kuala Lumpur untuk rawatan. Beliau mengenal pasti wanita itu sebagai isteri lelaki yang telah dijangkiti virus itu di Singapura pada Khamis.
Beberapa jam kemudian, Noor Hisham Abdullah, ketua pengarah jabatan kesihatan Malaysia, mengumumkan jangkitan keempat virus itu yang telah disahkan.
“Kes ini tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes yang diuji positif yang telah dilaporkan terlebih dahulu hari ini (Sabtu),” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabata kesihatan.
Kes koronavirus turut dilaporkan di Vietnam manakala Thailand telah mengesahkan jangkitan kelima pada Jumaat.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kerajaannya tidak bercadang menyekat kemasukan pelancong China ke Malaysia.
“Jangan halang mereka,” kata Mahathir kepada pemberita pada Sabtu, merujuk kepada pelancong China.
“Kita akan periksa mereka,” kata beliau. ”Dengan memeriksa, ia akan membolehkan kita mengesan [sebarang tanda virus itu] pada peringkat awal.”
China telah mengesahkan lebih 1,300 kes jangkitan virus itu dan sekurang-kurangnya 41 kematian, menurut laporan. Ia telah mengenakan sekatan yang sebelum ini tidak pernah berlaku ke atas 36 juta orang daripada melakukan perjalanan semasa negara Asia itu dan diaspora Cina menyambut Tahun Baharu Lunar, yang merupakan perayaan paling utama setiap tahun.
Australia telah mengesahkan empat kes di negara itu pada Sabtu, menjadikan sejumlah 11 negara di luar China dijangkiti koronavirus yang dikesan buat pertama kali di bandar Wuhan.
Lima lagi diuji negatif
Di Malaysia, lima lagi individu yang melakukan perjalanan bersama nenek mereka telah diuji negatif virus itu, kata menteri kesihatan Malaysia.
“Buat masa ini, kami telah menempatkan nenek tersebut dan dua cucunya dalam wad yang berasingan untuk pemerhatian,”kata Dzulkefly dalam satu sidang media. “Ibu kanak-kanak terbabit telah meminta untuk mereka dan kami membenarkan beliau berbuat demikian.”
Noor, ketua pengarah jabatan kesihatan Malaysia, berkata kes keempat Malaysia yang telah disahkan membabitkan seorang lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, yang terletak di wilayah Hubei, China. Beliau berkata lelaki itu tiba di Johor Bahru yang terletak dalam negeri Johor bersama isteri dan anaknya dengan menaiki sebuah bas dari Singapura pada 22 Jan.
Sehingga Sabtu, lelaki itu dilaporkan mengalami demam dan batuk namun berada dalam keadaan stabil semasa menjalani rawatan di sebuah hospital yang dibiayai kerajaan, kata Noor.
Pegawai kesihatan Johor turut mengesan kesemua 17 pelancong China yang menaiki bas sama dan “hasil saringan menunjukkan bahawa mereka tidak mengalami demam serta tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan virus itu,” kata Noor. Mereka telah diasingkan di sebuah fasiliti kesihatan, kata beliau tanpa mengulas lanjut.
Tiada kes koronavirus disahkan di Filipina setakat Sabtu. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun telah diuji negatif virus itu manakala pegawai kesihatan berkata mereka kini memantau seorang lelaki berusia 36 tahun dari pusat bandar Tacloban.