Penceramah Agama Ditahan Berhubung Hasutan Mengenai Titah Sultan
2017.10.11
Kuala Lumpur

Penceramah agama yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia Zamihan Mat Zin ditahan pihak polis pada Rabu berhubung siasatan kes hasutan dimana beliau membuat kenyataan keras mengenai titah Sultan Johor mengenai isu kedai dobi untuk Muslim serta ceramah berbaur perkauman.
Zamihan yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri ditahan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur selepas memberi kenyataan kepada pihak polis pada petang Rabu.
“Zamihan telah ditangkap petang tadi jam 3.50 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan esok akan dibawah ke Mahkamah Jalan Duta untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Pada awal Rabu, Ketua Polis Negara Mohamd Fuzi Harun mengumumkan bahawa pihaknya telah membuka satu fail siasatan terhadap Zamihan selepas menerima laporan berkenaan isi ceramah beliau di Shah Alam pada Ahad lepas, yang mengkritik Sultan Johor serta menghina masyarakat keturunan Cina di negara itu.
“Sebuah kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 4 Akta Hasutan 1948,” kata Fuzi kepada pemberita pada Rabu.
Ceramah Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam itu yang dimuatnaik ke laman YouTube memaparkan beliau mengkritik titah Sultan Johor terhadap pengusaha dobi tersebut untuk menghentikan polisi yang mendiskriminasi golongan bukan Islam itu.
Zamihan, seorang penceramah terkenal kini bertugas di Jabatan Penjara Malaysia sebagai guru agama. Beliau sebelum ini bertugas sebagai pegawai di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan bahagian buku agama di Kementerian Dalam Negeri dan juga merupakan Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).
Bidas
Akta Hasutan yang digubal pemerintahan kolonial British pada 1948 pada asalnya untuk mengawal pengaruh komunis telah diubah oleh kerajaan Malaysia lanjutan rusuhan kaum besar-besaran pada 1969. Menurut laporan Centre for Independent Journalism Malaysia, undang-undang itu kini mendefinisikan ‘hasutan’ secara luas dan juga menyekat kebebasan bersuara, terutamanya berkaitan isu politik yang sensitif.
Di bawah Akta Hasutan 1948, pesalah boleh dikenakan saman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Zamihan dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke laman Facebook membidas dakwaan tersebut dengan berkata kenyataan beliau berkenaan keperluan untuk umat Islam mempunyai dobi khas merupakan pendapat peribadi.
“Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT, saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau sebarang elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan.”
“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam rakaman video itu Zamihan mempersoalkan titah Sultan Johor dan menyatakan bahawa orang bukan Islam, khasnya dari bangsa Cina adalah kotor kerana mereka bersuci menggunakan kertas tisu selepas membuang air.
“Bagaimana pula dengan darah haid di pakaian dalam? Mereka peluk anjing, minum arak, dan arak tumpah ke pakaian. Mereka juga makan babi. Semua aktiviti ini sinonim dengan mereka.”
“Kita negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua angkat sumpah, wabillahi, watallahi, tapi nak buka dobi khas orang Islam tak boleh, dipanggil jumud, Taliban,” katanya lagi dalam rakaman tersebut.
Enam puluh peratus daripada 26 juta masyarakat berbilang bangsa di Malaysia terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu dan 20 peratus berketurunan Cina.
Raja-raja Melayu berperanan sebagai ketua agama Islam di Negeri masing-masing. Kesemua sembilan orang raja mengambil giliran untuk menjadi Yang Di-Pertuan Agong, di bawah sistem penggiliran unik yang digubal di penghujung pemerintahn British pada tahan 1950an.
Walaupun tugas-tugas mereka cuma dalam adat istiadat dan kuasa memerintah negara terletak di Parlimen dan Perdana Menteri, mereka berperanan sebagai simbol mutlak tradisi orang Melayu dan juga agama Islam.
Pada 27 September Sultan Johor mengarahkan pengusaha dobi khas untuk Muslim yang menimbulkan kontroversi itu, menghentikan polisinya serta merta atau berdepan dengan perintah tutup perniagaan daripada baginda.
"Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersifat sederhana,” titah sultan kepada akhbar tempatan The Star.
"Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis.”
Papa tanda di hadapan kedai tersebut tertulis perkataan “Mesra-Muslim.”
"Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian. Segala kesulitan amat dikesali. Sila tinggalkan kasut diluar,” kata papan tanda itu.
Pemilik, yang namanya tidak disiarkan itu memberi tindak balas segera terhadap kritikan itu dan memansuhkan polisinya. Di Perlis, satu kes yang sama turut dilaporkan beberapa hari kemudian namun pihak istana negeri berkenaan juga mengarahkan polisi itu dihentikan.
Raja-Raja gusar keharmonian negara
Pendirian Sultan Ibrahim itu disokong oleh raja-raja Melayu menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad pada Selasa.
"Raja-Raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam. Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Raja-raja Melayu juga mengingatkan rakyat untuk mengenang kembali prinsip-prinsip teras Rukun Negara yang menggariskan lima aspirasi dan prinsip panduan untuk Malaysia.
“Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia, setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip yang termaktub dalam perlembangaan dan mendukung semangat yang terkandung dalam Rukun Negara,” kata kenyataan itu lagi.
Peringatan raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam kenyataan media khas pada Selasa itu, telah dilihat sebagai sesuatu yang cukup bersejarah kerana jarang sekali untuk Majlis Raja-Raja Melayu berbuat demikian.