Pihak Berkuasa Malaysia Sita Dokumen Berkaitan Projek China

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.07.18
Kuala Lumpur, Malaysia
180718-MY-raids-620.JPG Seorang pegawai keselamatan bertugas di pintu masuk ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 3 Julai 2018.
Reuters

Pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia pada Rabu telah merampas beberapa dokumen dalam serbuan keatas dua buah syarikat di Kuala Lumpur yang bertanggungjawab terhadap tiga projek infrastruktur mega yang disokong oleh China di Malaysia, penyiasat utama mengesahkan.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pergi ke 13 lokasi di sekitar ibu negara yang mempunyai kaitan dengan projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP), kata Pengarah siasatan agensi berkenaan memberitahu BeritaBenar.

"Kami menyita beberapa dokumen yang melibatkan projek berkenaan," kata Simi Abdul Ghani, tetapi enggan mengulas lanjut.

Pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak telah menganugerahkan projek berjuta dolar kepada syarikat-syarikat China, tetapi kerajaan baru Malaysia telah menggantung tiga projek itu.

Apabila beliau mengumumkan penggantungan pada 5 Julai, Menteri Kewangan baru Lim Guan Eng membenarkan tindakan itu dengan mengatakan bahawa China Petroleum Pipeline Bureau, sebuah firma dari China yang telah dianugerahkan kontrak untuk TSGP dan MPP pada November 2016 telah dibayar 85 peratus daripada nilai projek walaupun menyiapkan hanya 13 peratus daripada kerja-kerjanya di dua saluran paip.

Kedua-dua projek itu dikendalikan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh kementerian kewangan yang dipengerusikan oleh bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Siregar Abdullah yang dikaitkan dengan Najib.

Eng membuat kenyataan itu berikutan laporan media bahawa kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad sedang menyiasat untuk menentukan sama ada kerajaan Najib telah menggunakan dana yang diperuntukkan bagi projek saluran paip untuk membayar hutang yang ditanggung oleh dana negara yang dilanda skandal kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

1MDB yang ditubuhkan oleh Najib bertujuan untuk merangsang pelaburan negara tetapi tertakluk kepada tindakan undang-undang dan penyiasatan jenayah selepas berbilion-bilion dolar didakwa hilang dari dana berkenaan.

Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk sejak sekian lama. Pegawai kehakiman itu menuduh rakan sekutu Najib ahli perniagaan buruan Low Teik Jho [lebih dikenali sebagai Jho Low] telah melakukan pengubahan wang lebih daripada AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB menerusi pembelian hartanah di California, New York dan London.

Bulan lalu, mahkamah Malaysia mendakwa Najib berhubung kes pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 1MDB, tetapi bekas perdana menteri telah menafikan bahawa beliau melakukan sebarang jenayah atau mencuri wang rakyat.

Singapura

Sementara itu, kerajaan Malaysia melantik firma undang-undang yang berpangkalan di Singapura untuk mewakili usahanya dalam menuntut semula wang milik 1MDB yang dibekukan oleh pihak berkuasa Singapura, menurut satu laporan media.

The Edge Markets, sebuah penerbitan perniagaan, melaporkan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas telah meluluskan pelantikan Tan Rajah & Cheah untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Singapura terhadap Jho Low dan 52 defendan lain untuk mendapatkan semula dana 1MDB.

Apandi Ali, peguam negara yang dilantik oleh Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, membersihkan nama bekas perdana menteri itu dari sebarang salah laku yang berkaitan dengan 1MDB dengan melambat-lambatkan siasatan. Kerajaan baru Mahathir menghidupkan semula kes berkenaan selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa selepas berjaya menumpas Barisan Nasional yang dipimpin oleh Najib dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.