Malaysia: Anggota TUDM, Rakyat Indonesia Didapati Tidak Bersalah Pertuduhan Rancang Culik Perdana Menteri
2017.06.19
Kuala Lumpur dan Alor Setar, Malaysia

Seorang hakim di Malaysia pada Isnin telah membebaskan dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta seorang rakyat Indonesia daripada pertuduhan membuat rancangan bersama-sama seorang pejuang kumpulan militan Negara Islam (IS) dan anaknya, untuk menculik Perdana Menteri Najib Razak serta beberapa individu berprofil tinggi pada 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa Nor Azmi Jalani, 28, Mohd Yusri Mohamed Yusof, 29, dan Ali Saifuddin, 30, tidak bersalah kerana terdapat percanggahan dalam keterangan mereka serta keterangan saksi utama, Abu Daud Murad, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun susulan pembabitannya dalam rancangan itu.
“Abu Daud dan ketiga-tiga tertuduh telah mengaku hadir dalam satu mesyuarat, merancang aktiviti keganasan seperti menculik ahli politik sebagai pertukaran untuk beberapa tahanan
(di bawah akta keselamatan), mencuri senjata api dan berpindah ke Syria untuk berjuang. Dalam keterangan bersumpah mereka, ketiga-tiga tertuduh mengaku menghadiri mesyuarat itu namun tidak merancang melakukan kesalahan terbabit,” kata hakim berkenaan.
“Keterangan saksi utama, Abu Daud, tidak selari dengan keterangan Ali, Nor Azmi dan Mohd Yusri yang konsisten antara satu sama lain. Ini telah menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.”
Bagaimanapun hakim itu membenarkan permohonan agar mereka terus ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) sementara pendakwaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah.
Keputusan itu disambut baik oleh anggota keluarga tertuduh serta peguam Ali, Syahredzan Johan.
“Meskipun (hakim) memutuskan bahawa saksi utama mempunyai kredibiliti yang tinggi namun selepas mendengar keterangan ketiga-tiga tertuduh, beliau telah mendapati keterangan mereka lebih kukuh,”katanya kepada BeritaBenar.
Syria, Afghanistan, Sulawesi
Mereka telah didakwa menggalakkan serta menyokong aktiviti keganasan di sebuah rumah di Pendang, Kedah antara 30 Jan dan 5 April 2015. Tiga lagi lelaki turut ditahan berhubung rancangan itu.
Dua daripada mereka – Abu Daud Murad dan bapanya, Murad Halimmuddin Hassan – telah mengaku bersalah pada 2015 serta dihukum penjara. Murad Halimmuddin bagaimanapun telah meninggal dunia tahun lepas akibat penyakit jantung.
Murad Halimmuddin, yang merupakan bekas anggota Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), telah menghabiskan masa kira-kira lima bulan berjuang di Syria pada 2014, dan sebelum itu, beliau turut terlibat dalam konflik di Afghanistan serta Sulawesi, demikian menurut laporan media ketika mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya dalam kes ini.
Suspek keenam, Hadharami Hashim, seorang pembantu sebuah sekolah agama dari Kedah, pula telah dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Seorang anggota unit antikeganasan mengiringi Azudin Mahmud, yang menutup kepalanya, ke Mahkamah Majistret Kulim untuk berdepan satu pertuduhan membiayai keganasan, 18 Jun 2017. (Fairuz Mazlan/BeritaBenar)
Pertuduhan Membiayai Keganasan
Keputusan itu dibuat sehari selepas tiga lelaki dari Kedah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menghantar wang kepada anggota IS Malaysia yang berada di Syria.
Azudin Mahmud, 54, didakwa di Mahkamah Majistret Kulim atas pertuduhan membiayai bekas perekrut terkemuka IS Malaysia iaitu Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang terbunuh di Syria dua bulan lepas.
Mengikut pertuduhan, Azudin telah membenarkan sejumlah RM3,500 (USD818) dideposit ke akaun bank miliknya bagi membolehkan sebahagian atau keseluruhan jumlah itu digunakan oleh Wanndy untuk membiayai aktiviti keganasannya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pertuduhan serupa turut dihadapi oleh Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, dan Mohd Shaiful Mohd Jaafar, 31.
Hassan didakwa telah memberikan wang sebanyak RM100 (USD23.37) dan RM200 (USD46.75) kepada Muhammad Fuhdail Omar, yang dikenal pasti sebagai seorang anggota IS Malaysia yang berjuang di Syria. Dia juga didakwa memberikan RM2,000 (USD467) kepada individu yang disyaki anggota IS Malaysia, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga transaksi dibuat antara 28 April dan 1 Mei 2015 di sebuah rumah di Sungai Petani.
Sementara itu, Mohd Shaiful didakwa memberikan RM890 (USD208) kepada Hassan pada 12 April 2015 untuk digunakan dalam satu aktiviti keganasan.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperoleh BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata seorang pegawai atasan unit antikeganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Anggota unit antikeganasan mengiringi Muhammad Hassan Syauqi Omar (depan berbaju putih) dan Mohd Shaiful Jaafar selepas mereka didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, 18 Jun 2017. (Fairuz Mazlan/BeritaBenar)