Buruh Indonesia Didakwa Miliki Barangan Berkaitan IS
2018.02.07
Kuala Lumpur

Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba melancarkan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Malaysia di Bukit Aman dan terhadap sami Buddha telah didakwa di sebuah mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu atas dua pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan Negara Islam (IS).
Tertuduh Mohd Al-Arshy Mus Budiono, 24, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
Tiada pengakuan rekod diambil kerana pengakuan bagi kes-kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada IS dengan memiliki dua helai bendera kumpulan itu, seutas gelang tangan, sehelai kertas A4 , sebilah pisau berserta sarungnya dan sehelai kain yang kesemuanya dilukis bendera IS.
Bagi pertuduhan itu, Mohd Al-Arshy yang bekerja sebagai buruh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, Mohd Al-Arshy didakwa memiliki bahan-bahan yang berkaitan dengan pengganas IS berunsur keganasan di dalam rumah kongsinya.
Untuk pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan-bahan tersebut jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pasir Putih Kampung Pasir Petaling, Klang Lama pada 3.30 petang, 17 Jan lepas.
Tertuduh yang hadir dimahkamah kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan. Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum.
Hakim Azura menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula di mahkamah yang sama bagi tujuan mengemukakan izin pindah kes ke Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Majistret di bawah akta imigresen dimana tertuduh mengaku bersalah tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke negara itu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan iaitu 17 Jan lalu dengan satu sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Awan Hijau, Taman Overseas, Union, Brickfields di Kuala Lumpur pada 3 petang,17 Jan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Siasatan polis terhadap tertuduh sebelum ini menunjukkan beliau cuba merancang serangan ke atas ibu pejabat Polis Bukit Aman dan juga Balau Polis Travers untuk merampas senjata api dari stor senjata mereka.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan beliau berkata tertuduh turut merancang untuk mencuri senjata api dari stor senjata api di kedua-dua lokasi tersebut untuk digunakan dalam serangan di Malaysia dan Indonesia.
Fuzi turut memberitahu bahawa suspek berkerakyatan Indonesia itu merancang untuk menyerang sami Buddha.
"Pada November, suspek telah memantau sekitar Jalan Pudu (Kuala Lumpur), dengan bersenjatakan sebilah pisau, dengan niat untuk membunuh mana-mana sami Buddha bagi membalas dendam kekejaman kerajaan Myanmar dan pembunuhan umat Islam Rohingya di negara itu," kata Fuzi dalam kenyataan tersebut.
Terdapat sekurang-kurangnya 655,000 etnik Rohingya melarikan diri dari tindakan keras tentera yang zalim di negeri Rakhine, Myanmar, yang bermula sejak akhir Ogos 2017, berikutan serangan terhadap pos keselamatan kerajaan oleh kumpulan pemberontak Rohingya. Secara keseluruhannya, kira-kira 1 juta pelarian Rohingya berlindung di Bangladesh, termasuk mereka yang telah melarikan diri dari gelombang keganasan sebelum itu.
Fuzi berkata suspek telah membuat janji setia [bai’ah] kepada pemimpin kanan IS melalui aplikasi Whatsapp dan cuba merekrut rakyat Indonesia lain untuk menyertai kumpulan pengganas itu.
"Bagi membuktikan bahawa kumpulan pengganas itu masih aktif di Malaysia, suspek juga telah menaikkan dan mengibarkan bendera IS di tapak pembinaan tempat beliau bekerja, walaupun mereka kalah di Iraq dan Syria," kata Fuzi.
Malaysia gagalkan sembilan rancangan pengeboman melibatkan IS
Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pegeboman berkaitan IS sejak 2013, menurut pegawai. Antara rancangan yang digagalkan termasuk sasaran mengebom Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata polis.
Tetapi militan berjaya melakukannya pada Jun 2016, apabila serangan bom tangan yang mempunyai kaitan dengan IS mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 371 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, termasuk 71 rakyat asing sejak dari tahun 2013 mengikut statistik kerajaan.
Tiga puluh empat rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria. Selain itu, 53 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mereka berkemungkinan telah melarikan diri dari bandar di mana berlakunya pertempuran, kata polis Malaysia. Pegawai tersebut juga berkata, rakyat Malaysia berkemungkinan berlindung di beberapa kem di sepanjang sempadan Syria dengan Jordan dan Turki.