Jenaka Rogol: Tindakan Kerajaan Wakili Guru, Bekas Guru Besar Amat Memeranjatkan
2022.06.07
Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia akan mewakili seorang guru yang didakwa telah membuat gurauan keterlaluan mengenai isu rogol dalam kes saman beliau terhadap seorang pelajar perempuan yang membuat laporan polis terhadapnya manakala 75 Ahli Parlimen pada Selasa menyifatkan tindakan itu sebagai “amat memeranjatkan.”
Mereka turut menegaskan bahawa kerajaan seharusnya mengambil pendirian berkecuali dalam pertikaian yang sensitif.
Ain Husniza Saiful Nizam, 18, telah membuat laporan terhadap gurunya pada Mei tahun lepas namun pihak polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai “tiada tindakan lanjut.’ Susulan itu, guru berkenaan memfailkan saman terhadap pelajar tersebut dan bapanya pada Ogos lepas atas dakwaan memfitnah.
“Ya, betul, Peguam Kanan Persekutuan akan mewakili mereka di mahkamah nanti. Selalunya kerajaan tidak akan masuk campur dalam kes saman sivil tetapi ini terjadi sebab kerajaan turut dilibatkan bersama,” menurut sumber Jabatan Peguam Negara.
Sumber itu berkata menerusi tuntutan balas, Ain Husniza dan bapanya telah memohon untuk memasukkan kerajaan dalam saman mereka.
Perkara itu disahkan oleh peguam Sankara Nair yang mewakili Ain Husniza dan bapanya.
“Keputusan kerajaan untuk mewakili guru dan bekas guru besar yang memfailkan saman terhadap Ain Husniza atas kapasiti peribadi mereka adalah perkara yang amat memeranjatkan dan sukar dipercayai,” katanya kepada BenarNews.
Nair turut mengesahkan pihaknya telah menamakan lima defendan dalam tuntuan balas RM5 juta yang difailkan pada 4 Mac lepas.
Mereka ialah guru Khairul Nizam Sanuddin, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam Sarimah Mohammed Nor (yang telah bersara), Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan Kerajaan Malaysia.
Desak kerajaan berkecuali
Sementara itu, 75 Ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat menyifatkan tindakan Jabatan Peguam Negara mengarahkan Peguam Kanan Persekutuan mewakili guru dan guru besar terbabit dalam saman balas yang difailkan oleh Ain dan bapanya sebagai “amat memeranjatkan.”
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Ahli Parlimen terbabit turut menggesa Peguam Negara agar menarik balik arahan itu.
“Kami, Ahli Parlimen Malaysia, berpendapat bahawa pihak Kerajaan Keluarga Malaysia, khususnya Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan, haruslah bersikap berkecuali di dalam pertikaian ini,” menurut mereka dalam kenyataan itu.
Mereka juga menegaskan pelantikan Peguam Kanan Persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terbabit hanya akan memburukkan keadaan serta memberi persepsi negatif terhadap Kementerian Pendidikan dan kerajaan.
“Kes Ain Husniza sebenarnya telah mencetuskan lebih banyak kebimbangan dan kegentaran dalam kalangan ibu bapa serta pelajar di sekolah kita di samping menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendidikan. Selain itu, dana pembayar cukai haruslah digunakan sewajarnya,” kata mereka.
Kesemua Ahli Parlimen berkata mereka menghormati hak sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk guru terbabit namun menegaskan bahawa peranan Jabatan Peguam Negara adalah membela kepentingan orang awam.
“Ia tidak patut berpihak dalam kes persendirian yang sensitif seperti ini tetapi haruslah hanya membela kes yang melibatkan entiti kerajaan sahaja.
“Jabatan Peguam Negara sebagai penggubal rang undang-undang Gangguan Seksual seharusnya lebih peka terhadap kes seperti ini,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan perlu menegaskan bahawa sindiran seksual dan jenaka mengenai rogol terutama terhadap remaja perempuan tidak boleh diterima sama sekali.
Antara Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah Loke Siew Fook (Parti Tindakan Demokratik), Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik) dan Darell Leiking (Parti Warisan Sabah).
Gurauan berunsur lucah
Pada 24 April tahun lepas, Ain Husniza menjadi perhatian masyarakat antarabangsa selepas memuat naik sebuah video di laman TikTok yang mendakwa seorang guru lelaki telah membuat gurauan berunsur lucah ketika sesi kelas pendidikan jasmani.
Dalam video itu, Ain Husniza berkata guru tersebut telah mengeluarkan kata-kata “nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, rogol yang atas 18” ketika membincangkan isu undang-undang yang melindungi remaja bawah umur daripada gangguan seksual.
Video itu telah tular dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai isu pendidikan seks serta sikap prejudis terhadap wanita.
Susulan pendedahan itu, guru terbabit telah diarahkan bertukar ke Pejabat Pendidikan Negeri sementara kes terhadapnya disiasat.
Selain menyerahkan notis tuntutan kepada Ain Husniza dan bapanya, guru itu telah membuat laporan polis terhadap mereka pada Ogos lepas.
Kes itu telah menarik perhatian dan sokongan banyak pihak termasuk aktivis hak asasi manusia serta Ahli Parlimen pembangkang.