Presiden ICC: Kes Kim Jong Nam Boleh Dibawa Ke ICC

Fairuz Mazlan
2017.04.06
Kuala Lumpur
170406-my-ICC-kjn-620.jpg Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa [ICC] Hakim Silvia Fernandez de Gurmendi duduk di ruang sidang di Bangunan ICC di The Hague, 27 Mac 2014.
AFP

Kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara boleh dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun Malaysia bukan anggota badan mahkamah dunia itu, Presidennya Silvia Frenandez de Gurmendi berkata, menurut laporan media tempatan.

Beliau yang merupakan presiden ICC wanita yang pertama berkata, kes berkenaan tidak dapat segera dirujuk ke Mahkamah ICC kerana Malaysia tidak menganggotai badan itu.

“Mahkamah adalah sebuah badan perjanjian, jadi ia hanya boleh menjalankan fungsinya apabila jenayah dilakukan di wilayah negeri anggota. Dalam usaha yang akan dilindungi oleh mahkamah, anda perlu menjadi anggota perjanjian itu,” katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama pada Khamis.

Gurmendi berada di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Anggota Parlimen bagi Tindakan Global (PGA) dan pegawai kerajaan Malaysia dalam usaha mengenal pasti mengapa Malaysia masih belum menganggotai ICC.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Malaysia telah mendakwa dua wanita - seorang warga Indonesia dan seorang wanita Vietnam – dengan pertuduhan membunuh Kim Jong Nam, tetapi pegawai-pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat melihat mereka diperalatkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh ejen-ejen Korea Utara.

Gurmendi berkata, kes tersebut boleh dirujuk kepada ICC melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa(UNSC) selaras dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)juga boleh merujuk kes itu kepada mahkamah selaras dengan Piagam PBB dan ini telah berlaku sebanyak dua kali, dimana UNSC merujuk situasi di Darfur dan Libya kepada mahkamah.

“ICC hanya boleh campur tangan dalam keadaan tertentu dan mahkamah adalah jalan terakhir, dimana ia tidak bertujuan untuk menggantikan tribunal-tribunal kebangsaan,” katanya.

Tambahnya lagi, tribunal kebangsaan adalah pihak pertama yang perlu campur tangan, tetapi apabila tidak ada kemungkinan untuk berbuat demikian, maka mahkamah menjadi sandaran.

Kim Jong Nam yang juga merupakan abang kepada Presiden Korea Utara Kim Jong Un, telah diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] sewaktu menunggu penerbangan ke Macau. Beliau mati dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Akibat insiden itu, kedua-dua negara telah mengusir duta, membeku program bersama yang membenarkan rakyat memasuki negara tanpa visa dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat yang berada di negara satu sama lain.

Kuala Lumpur dan Pyongyang juga bersetuju pada Khamis 30 Mac lalu,  untuk menyelesaikan konflik selama enam minggu itu dengan menghantar mayat abang tiri pemimpin Korea Utara yang dibunuh ke negara komunis itu, sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana akibat larangan keluar dari negara berkenaan.

Pada petang Khamis 30 Mac (waktu tempatan), mayat Kim Jong Nam dibawa dalam penerbangan ke Beijing, dan sembilan rakyat Malaysia tidak lama kemudian menaiki pesawat dari Pyongyang menuju ke Kuala Lumpur, kata pegawai Malaysia.

Tiga rakyat Korea Utara, yang telah dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai suspek dalam kes pembunuhan itu dan dipercayai bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara, juga menaiki pesawat yang membawa mayat  Kim ke China.

Empat suspek Korea Utara, yang telah dikesan oleh kamera CCTV di lapangan terbang berkenaan pada hari pembunuhan itu, telah melarikan diri dari Malaysia, kata polis. Tiga suspek lain termasuk Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.