Malaysia: Aktivis Berhimpun di Ibu Negara, Tangkapan Terus Meningkat

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2016.11.19
Kuala Lumpur
161119-MY-Bersih-1000.jpg Para aktivis Bersih sedang berarak di Kuala Lumpur, 19 November, 2016.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Kemaskini pada 11:30a.m. ET - 2016-11-21

Beribu-ribu penunjuk perasaan Malaysia berbaju kuning berhimpun pada Sabtu di pusat bandar Kuala Lumpur, di mana mereka menggesa supaya demokrasi berparlimen didukung dan mengkritik pemerintahan perdana menteri yang dibelenggui dakwaan rasuah.

Perhimpunan Bersih 5 tetap diadakan walaupun pemimpin pergerakan akar umbi itu serta beberapa penganjur dan penyokong lain ditangkap menjelang  demonstrasi itu, dan beberapa perkelahian dan konfrontasi dengan aktivis dari kumpulan pro-kerajaan berlaku semasa perhimpunan itu.
Sekurang-kurangnya 13 orang ditangkap menjelang perhimpunan itu pada  Jumaat dan awal Sabtu, termasuk pemimpin kumpulan Baju Merah, sebuah kumpulan aktivis yang menyokong Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti Perdana Menteri Najib Razak.

Lapan lagi ditahan pada Sabtu, termasuk tiga ahli politik pembangkang yang disiasat di bawah undang-undang yang melarang hasutan rusuhan.

Semasa para penunjuk perasaan Bersih berarak ke venue perhimpunan,  sekatan polis menghalang mereka daripada memasuki Dataran Merdeka, tapak simbolik di ibu negara Malaysia, di mana mereka mahu berhimpun. Sebaliknya, mereka menukar haluan dan mengadakan demonstrasi di hadapan mercu tanda ikonik Kuala Lumpur iaitu Menara Petronas (gambar bawah), bangunan berkembar mencakar langit.

Bilangan penunjuk perasaan Bersih adalah di antara 10,000 hingga 40,000 orang, menurut laporan berita, tetapi Polis Kuala Lumpur berkata hanya  15,500 yang berbuat demikian.

"Kita akan berhenti di sini. Mereka yang hadir terlalu ramai dan kita tidak mahu ada yang tercedera. Ini pun  satu pencapaian, "kata bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenivasan kepada para penunjuk perasaan di satu daripada penghadang yang ditempatkan menuju ke Dataran Merdeka. Semua laluan menuju ke kawasan itu telah dikepung dan dikawal oleh ribuan anggota polis dan anti-rusuhan.

Di luar kawasan Menara Petronas pula, beribu-ribu orang duduk sambil melaungkan slogan yang menggesa Najib supaya meletakkan jawatan berikutan skandal rasuah yang berkaitan dengan dana pelaburan Negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib menafikan dakwaan salah laku lebih AS $ 700 juta wang berkaitan 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau pada 2013. Pada Jumaat, perdana menteri terbang ke luar negara untuk menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru.

Pada perhimpunan itu, yang diadakan ketika cuaca mendung, orang ramai melaungkan "Hidup Rakyat!" dengan para pemimpin pembangkang dan penceramah lain bergilir-gilir menyampaikan ucapan mereka.

"Inilah yang dikatakan memperkecilkan demokrasi. Bukannya Bersih yang  menghalang demokrasi, tetapi kerajaan, "kata bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, pengkritik lantang Najib, kepada orang ramai  sambil merujuk kepaada sekatan berhampiran Dataran Merdeka.

"Ini bukannya bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Ini Malaysia, dan ia milik kita semua,  kata bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dipecat Najib pada tahun lalu kerana mengkritik beliau secara terbuka mengenai 1MDB, dalam ucapannya.

Perhimpunan Bersih berakhir pada 5.30 petang.

'Kebanyakan rakyat Malaysia berdiam diri'

Kumpulan Baju Merah telah mengancam untuk menggerakkan kira-kira 300,000 ahlinya bagi mengadakan perhimpunan balas serentak di Kuala Lumpur pada Sabtu, tetapi pihak berkuasa Malaysia pada Khamis mengisytiharkan kedua-dua perhimpunan itu sebagai haram, dan memberi amaran kepada kedua-dua kumpulan itu supaya membatalkannya. Menurut polis, hanya 2,500 ahli Baju Merah yang berhimpun pada Sabtu.

Zainuri Zainal, ketua sayap pemuda kumpulan Baju Merah, pula mengisytiharkan kehadiran kumpulan itu pada Sabtu sebagai satu kejayaan, dan berkata mereka telah membantu menghalang  Bersih daripada memasuki Dataran Merdeka.

"Mereka tahu kita berada di sini untuk ' mengawal' dan menghentikan mereka, dan kita telah berjaya melakukannya. Kita berada di sini untuk membantu pihak polis, "katanya.

Sementara itu, perhimpunan Bersih pula adalah jauh lebih kecil berbanding dengan perhimpunan dua hari yang diadakan tahun lepas, di mana kira-kira 200,000 penunjuk perasaan berkampung di Kuala Lumpur untuk membantah skandal 1MDB. Bersih adalah gabungan NGO Malaysia, yang para penyokongnya memakai kemeja-T kuning dan antara lainnnya memperjuangkan supaya kerajaan  telus, pilihan raya  bebas dan adil, pembaharuan institusi untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan hak untuk berbeza pendapat.

"Satu juta orang akan hanya muncul apabila perut mereka semakin lapar. Saya sedih. Kebanyakan rakyat Malaysia sedang berdiam diri, "kata seorang pegawai tentera  bersara yang enggan dikenali, yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih, kepada BeritaBenar pada Sabtu.

Dua hari sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara Malaysia,  Ali Hamsa, telah memberi amaran kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini supaya tidak menyertai perhimpunan pada Sabtu atau berdepan dengan tindakan disiplin, termasuk penamatan perkhidmatan atau dipotong gaji, menurut laporan.

Kumpulan Baju Merah yang pro-kerajaan berarak di ibu ngara Malaysia, 19  November, 2016. [Muzliza Mustafa/BeritaBenar]

Lebih banyak tangkapan

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi,  terus memberi amaran bahawa kerajaan  akan bertindak tegas terhadap penganjur kedua-dua perhimpunan itu.

"Tidak timbul isu ketidakadilan kuasa kerana bukan satu pihak sahaja yang ditahan, dan ramai lagi akan ditangkap," lapor agensi berita Bernama yang memetik Zahid sebagai berkata.

Pada petangnya, Ketua Polis Kuala Lumpur mengumumkan bahawa enam orang telah ditangkap semasa perhimpunan itu. Tiga daripada mereka sedang disiasat kerana cuba menghasut rusuhan termasuk Armand Azha Abu Hanifah, pemimpin kumpulan Baju Merah dan pemimpin  Pemuda UMNO, serta Howard Lee Chuan How, wakil rakyat daripada parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik.

Selain itu,  seorang ditangkap kerana menerbangkan drone semasa perhimpunan Bersih, seorang lelaki ditangkap kerana membawa parang dan  buku tangan tembaga, dan seorang lagi ditahan kerana menyerang penyokong Bersih, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh  dalam satu kenyataan.

"Sehingga 6 petang, keadaan di Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka, adalah di bawah kawalan dengan penunjuk perasaan telah bersurai," katanya.

Ketua Polis Negara  Khalid Abu Bakar, yang memuji pasukan polis kerana  memelihara keamanan dan keselamatan pada Sabtu menerusi mesej Twitter, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai semua tangkapan berkaitan dengan perhimpunan protes itu.

Lewat  malam Sabtu, dua pemimpin kanan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan di rumah mereka berikutan perhimpunan Bersih, termasuk Naib Presidennya Tian Chua, lapor akhbar The Star.

Awal hari ini, mahkamah memerintahkan Jamal Md Yunos, pemimpin utama Baju Merah, ditahan reman polis selama empat hari bagi membantu penyiasatan berhubung pergaduhan yang didakwa berlaku dengan pegawai polis pada 13 Nov semasa stu insiden yang melibatkan Ahli Parlimen Zuraida Kamaruddin, seorang daripada dua pemimpin PKR yang ditahan pada malam Sabtu.

Selain pengerusi Bersih Maria Chin Abudullah, yang ditahan pada Jumaat, seramai 11 yang lain, yang turut ditangkap sebelum berlangsungnya perhimpunan itu, adalah termasuk dua aktivis Baju Merah dengan kesemuanya ditahan reman polis selama empat hari bermula Sabtu, lapor media tempatan.

Bagi pemimpin Bersih itu, yang pada mulanya ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti yang dianggap "menjejaskan demokrasi berparlimen,", beliau kini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), yang membolehkan polis menahannya selama 28 hari tanpa pendakwaan, kata Lawyers for Liberty, sebuah badan bukan kerajaan tempatan.

"Kami terkejut dengan penyalahgunaan kuasa ini," kata Lawyers for Liberty dalam catatan tweet pada Sabtu.

 

[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.