Promosi Pelancongan di China: Bekas Pengerusi Tourism Malaysia Direman

Ali Nufael & Hadi Azmi
2019.01.09
Kuala Lumpur, Malaysia
190109-MY-Tourism-rasuah620.jpg Bekas Pengerusi Tourism Malaysia Siew Kar Wei menutup muka menggunakan baju yang dipakainya semasa tiba di Mahkamah Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Putrajaya, 9, Januari, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Pengerusi Tourism Malaysia direman empat hari pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung kontrak promosi pelancongan menerusi pengiklanan digital internet bagi pasaran China bernilai RM99.63 juta.

Siew Ka Wai, 62, yang juga Pengerusi Eksekutif Ancom Sdn Berhad, syarikat pelaburan yang memiliki pelbagai bentuk perniagaan termasuk portal berita The Malay Mail direman bersama seorang lagi individu, Elizabeth Ken Tze Ying, 32, yang juga Ketua Pengarah Urusan Geeko Company.

Mereka yang ditahan pada Selasa sejurus diambil keterangan di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada jam 9 pagi untuk mendapatkan permohonan perintah tahanan reman.

Mereka yang berpakaian lokap diiringi pegawai SPRM dilihat menutup muka bagi mengelak gambar dirakam jurukamera media.

Majistret Irza Zulaika Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM sehingga 12 Januari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki yang dihubungi BeritaBenar mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

"Ya saya sahkan berita tersebut [ditahan] namun tidak perlu untuk saya beri komen lanjut," kata Azam.

Siew yang dilantik sebagai Pengerusi Tourism Malaysia pada September 2016, disiasat berhubung kontrak urusniaga bernilai RM99.63 juta melibatkan Tourism Malaysia yang ditandatangani pada 4 April 2018.

Pada 31 Mei 2018, bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong menerusi blognya Weechookeong.com mendedahkan salah guna kuasa melibatkan Siew dengan kontrak bernilai RM99.63 juta yang telah “dinilai, dirunding dan ditandatangani dalam masa sehari” pada 4 April 2018, iaitu sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam blognya, Wee mempertikaikan bagaimana proses kontrak bernilai jutaan ringgit mampu diselesaikan dalam masa satu hari.

Wee mendakwa langkah yang dibuat bagi memberikan kontrak kepada syarikat Elizabeth melalui Tourism Malaysia dibuat secara tergesa-gesa selain menyifatkan perjanjian satu hari itu sebagai perjanjian "Speedy Gonzalez".

Syarikat milik Elizabeth telah diberi kontrak selama dua tahun bagi mempromosikan Malaysia di China melalui internet.

Syarikat tersebut didakwa menerima RM11.9 juta pada 23 April, iaitu lima hari sebelum penamaan calon untuk PRU-14.

Pada tahun 2018, Siew mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan Wee.

Akhbar tempatan The Star pada Jun 2018 melaporkan dengan berkata bahawa Pengarah Tourism Malaysia, Mirza Mohammad Taiyab mengesahkan bahawa pegawai SRPM hadir ke pejabat agensi itu untuk satu "inkuiri" dan turut merampas beberapa dokumen berkaitan.

Dalam pada itu, Syarikat Ancom Berhad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu mengesahkan penahanan Siew dengan turut mengumumkan bahawa satu mesyuarat tergempar telah diadakan untuk menilai impak kes berkenaan terhadap pengurusan syarikat dan pemegang sahamnya.

“Lembaga Pengarah ingin memberitahu pemegang saham bahawa operasi syarikat tidak terjejas dengan kes tersebut. Unit pengurusan syarikat sentiasa di bawah seliaan pelbagai ketua bahagian yang sudah terbukti rekod prestasi mereka,” kata kenyataan media itu.

Sejak mengambil tampuk pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional Mei tahun lalu, Pakatan Harapan telah mengumumkan bahawa ia akan memerangi rasuah dalam usaha membentuk kerajaan yang lebih telus dan amanah.

Kerajaan baru dipimpin Perdana Menteri Mahathir Mohamad turut menyatakan akan membuka semula kertas siasatan kes-kes berprofil tinggi termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan membawa mereka yang bersalah untuk menghahap pengadilan.

Antara pembaharuan yang dilakukan adalah pelantikan Mohd Shukri Abdull, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebagai Pesuruhjaya baru agensi pencegah rasuah tersebut.

Kerajaan turut menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara di bawah kelolaan bekas pesuruhjaya MACC Abu Kassim Mohamed.

Antara usaha terbaru kerajaan yang diumumkan penghujung Disember 2018 adalah penubuhan Pusat Jenayah Kewangan Nasional yang akan mula beroperasi tidak lama lagi dengan bekas Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali dilantik untuk mengetuai Pusat tersebut.

Sepanjang tahun lepas selepas kemenangan Pakatan Harapan, pihak berkuasa telah membuka semula kertas siasatan ke atas beberapa individu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor berhubung kes 1MDB pelbagai pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa.

Najib dan Rosmah masing-masing tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.