Dua Wanita Dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pertama
2016.06.27
Kuala Lumpur

Negeri Selangor pada Isnin melantik dua orang wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sekaligus menjadikannya negeri pertama yang berbuat demikian di Malaysia.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan mengurniakan watikah lantikan kepada Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Isnin.
Kedua-dua hakim yang baru dilantik itu merupakan anak jati Banting, sebuah daerah dibawah pentadbiran negeri itu.
Selain itu tujuh wanita lain turut menerima surat pelantikan mereka sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah bagi negeri berkenaan.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam laporannya berkata, pelantikan yang berkuat kuasa serta merta itu dibuat selaras dengan Subseksyen 58 (1) dan Seksyen 59 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Ketua Hakim Syarie Selangor Dr Mohd Na'im Mokhtar, ketika mengulas mengenai pelantikan itu, melahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor mengurniakan watikah kepada hakim-hakim wanita di negeri itu.
"Ini membuktikan keprihatinan Tuanku terhadap isu-isu Mahkamah Syariah khususnya dalam melihat peranan yang boleh dimainkan wanita termasuk dalam pelaksanaan keadilan yang berkesan di Selangor," katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan pelantikan hakim wanita bukan membabitkan isu gender, sebaliknya ia atas keupayaan pegawai itu sendiri yang dilihat layak memegang jawatan Hakim Syarie.
Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia mengalu-alukan pelantikan itu dengan berkata ini merupakan "langkah proaktif dalam melantik mereka yang layak tanpa mengira jantina."
"Adalah diharapkan kedua-dua hakim wanita dapat bersama-sama dengan hakim-hakim lain untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan berhak," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Isnin.
Bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia meliputi undang-undang keluarga Islam, dan harta milik orang Islam serta pelbagai perkara lain yang tidak dilindungi oleh kod kanun jenayah di negara itu. Mahkamah Syariah mempunyai tiga peringkat - Rendah, Tinggi dan Rayuan.
Ada negeri halang Hakim wanita
Pada Februari lepas, Hakim Mahkamah Syariah terkemuka Malaysia, Ibrahim Lembut menyalahkan beberapa majlis fatwa negeri yang menghalang perlantikan Hakim wanita ke dalam sistem keadilan Syariah.
"Sesetengah negeri tidak mahu menerima Hakim wanita walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan berkata sebaliknya.
"Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana Majlis Fatwa Negeri berada dibawah bidang berkuasa utama negeri masing-masing," kata Ibrahim, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah dipetik berkata kepada akhbar Malay Mail Online.
Fatwa adalah keputusan yang dibuat terhadap Undang-Undang Islam oleh pihak berkuasa yang diiktiraf.
Ibrahim juga mengakui kaum hawa juga mempunyai kelayakan akademik yang lebih baik berbanding dengan rakan-rakan lelaki mereka.
Lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah
Pada Mei lepas, seorang menteri kabinet dari parti Barisan Nasional mahu pembentangan rang undang-undang yang memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah dipercepatkan.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti pembangkang telah membuat usul di Parlimen supaya meningkatkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah dengan memberi lebih kuasa kepada mahkamah berkenaan.
Isu berkenaan telah meningkatkan ketegangan di negara berbilang kaum di mana orang bukan Islam bimbang ia akan bercanggah dengan perlembagaan sekular negara.
Hanya orang Islam, yang membentuk lebih separuh daripada penduduk negara itu, tertakluk
di bawah undang-undang syariah berkenaan, kata seorang pakar kepada BeritaBenar sambil menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan langkah yang dicadangkan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Menurut kumpulan badan bukan kerajaan [NGO] Malaysia, di bawah pindaan yang dicadangkan itu, Hakim Mahkamah Syariah mungkin boleh mengenakan hukuman sebat sehingga 100 kali terhadap mereka yang disabitkan terlibat dalam seks haram dan sehingga 80 kali kerana minum arak.
Pada masa ini, mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda maksimum 5,000 ringgit Malaysia (AS $1,214) dan sebat sehingga enam kali.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.