Malaysia: Pemimpin Bersih Kongsi Pengalaman Ditahan 10 Hari
2016.11.28
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin membebaskan pemimpin gabungan badan yang mahukan kerajaan bersih, selepas ditahan selama 10 hari di bawah undang-undang keselamatan negara, dengan penahanannya menerima kritikan antarabangsa.
Berikutan pembebasannya, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, menggambarkan bagaimana pegawai polis menutup matanya semasa mereka mengiringinya setiap pagi untuk disoal siasat selama beberapa jam berhubung pergerakan akar umbinya serta kaitan gabungan itu dengan sebuah NGO yang berpejabat di Amerika Syarikat.
Beliau juga menganggap penangkapannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) - yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa didakwa – sebagai tidak sah.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penahanan yang menyalahi undang-undang itu," katanya dalam satu kenyataan.
Chin telah ditangkap pada malam sebelum perhimpunan bantahan besar-besaran yang beliau dan aktivis Bersih lain anjurkan di Kuala Lumpur pada 19 Nov bagi mengetengahkan dakwaan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal rasuah. Najib menafikan dakwaan itu.
Minggu lalu, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar memberitahu sidang berita bahawa Chin disiasat bagi aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Khalid tidak mengulas lanjut pada masa itu, tetapi berkata Chin ditahan kerana dokumen-dokumen yang ditemui semasa serbuan di pejabat-pejabat Bersih di Kuala Lumpur. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan Open Society Foundations (OSF) yang dibiayai oleh George Soros.
Pada Isnin, Khalid enggan mengulas mengenai pembebasan Chin, dan memberitahu BeritaBenar bahawa beliau akan mengadakan satu lagi sidang akhbar mengenai kes itu.
Chin dibebaskan pada malam sebelum satu perbicaraan yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang akan mempertimbang writ Habeas Corpus yang difailkan para peguam Chin bagi memohon pembebasannya.
"Ini adalah kemenangan untuk Maria dan semua rakyat Malaysia yang telah bersama-sama menyokongnya sepanjang minggu lalu," kata Eric Paulsen, pengarah eksekutif bagi NGO tempatan, Lawyers for Human Rights, kepada BeritaBenar.
Puluhan aktivis pro-Bersih dan penyokong gabungan itu, serta aktivis dari kumpulan pro-kerajaan - yang mengadakan perhimpunan balas Bersih di Kuala Lumpur pada 19 Nov - telah dibebaskan daripada tahanan polis minggu lalu tetapi menghadapi kemungkinan pendakwaan berkaitan dengan perhimpunan bantahan.
"Pihak polis membebaskannya kerana mereka tidak mempunyai alasan untuk menahannya," kata Gurdial Singh Nijar, seorang daripada peguam Chin, kepada Agence France-Presse pada Isnin.
Penangkapan dan penahanan Chin di bawah SOSMA juga mendapat bantahan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, yang menuntut pembebasan segera beliau.
Alicia Edwards, seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, mengulas perkara itu 23 Nov, dengan memberitahu Reuters, "Kami bimbang dengan penahanan berterusan dan pengurungan Maria Chin Abdullah di bawah undang-undang keselamatan negara."
Roti dengan jem kelapa
Dalam kenyataannya, Chin menggambarkan keadaannya semasa ditahan dalam tahanan.
"Pada waktu pagi, saya diberi roti dengan jem kelapa. Pada sebelah petang, saya diberi nasi dengan daging dan air - begitu jugalah dengan makan malam saya,” katanya.
Selepas empat hari dalam tahanan dan susulan lawatan pegawai-pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Chin berkata beliau kemudian diberi tilam, bantal dan selimut yang digunakannya untuk tidur dalam sel tanpa tingkap itu.
Menurut Chin, beliau berulang kali dibawa untuk disoal siasat di ibu pejabat polis, dari pagi hingga 6 petang, di mana beliau telah disoal siasat mengenai Bersih dan hubungannya dengan OSF.
"Soalan yang sama ditanya selama 10 hari; mengenai pergerakan global Bersih, OSF dan soalan mengenai Bersih dalam media sosial – siapa pentadbirnya, siapa yang memutuskan tentang isi kandungannya dan siapa yang memegang kata laluan,” kata Chin.
Shuman Vasu dan Muzliza Mustafa menyumbang kepada laporan ini.