NGO Mahu Peguam Negara Buka Semula Kes Pembelian Kapal Selam Perancis

Hata Wahari
2017.07.19
Kuala Lumpur
170718-my-scorpene620.jpg (Gambar file) Salah sebuah daripada dua kapal selam Scorpene yang ditempah oleh Malaysia menunggu untuk dilancarkan pada 23 Oktober 2007 di Cherbourg, Normandy, barat laut Perancis.
[MYCHELE DANIAU/AFP]

Pertubuhan hak asasi manusia dan rasuah di Malaysia mendesak Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan rasuah berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene, selepas pihak berkuasa Perancis mendakwa dua bekas eksekutif kanannya berhubung dakwaan sogokan pembelian berjumlah AS$1.1 bilion pada 2002.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) berkata ketika Perancis mendakwa dua eksekutif yang terlibat, negara pembeli Malaysia masih belum mendakwa sesiapa berhubung jenayah rasuah.

“Suaram menggesa Peguam Negara dan SPRM membuka dan menyiasat semula kes rasuah berkaitan pembelian kapal selam pada tahun 2010 yang melibatkan Menteri Pertahanan Najib Razak pada masa itu dan kini menyandang jawatan Perdana Menteri,” Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Manakala Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel menegaskan bahawa Peguam Negara Apandi Ali perlu memberi bantuan perundangan kepada pihak Peranchis dalam menyelesaikan kes rasuah berprofil tinggi tersebut.

“Pejabat Peguam Negara dan SPRM perlu memberi kerjasama kepada pendakwa raya  Peranchis dalam memastikan kes itu dapat dijalankan dengan adil dan saksama tetapi kami difahamkan, Pejabat Peguam Negara enggan memberikan sebarang bantuan perundangan secara bersama kepada negara berkenaan,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Cynthia menegaskan bahawa Malaysia mempunyai tanggungjawab di bawah Konvensyen Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Korupsi (UNCAC) untuk  memenuhi komitmen mereka dalam kerjasama antarabangsa.

Agensi berita antarabangsa AFP pada Selasa melaporkan bahawa para penyiasat Perancis mendakwa dua bekas pegawai yang terlibat dalam penjualan dua kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada tahun 2002.

Dua bekas eksekutif itu ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi syarikat pertahanan milik kerajaan Perancis DCNI dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales.

AFP yang memetik sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata Japiot didakwa dengan tuduhan “penyalahgunaan aset sosial” dan Perrier untuk “penglibatan dalam penyalahgunaan aset sosial”.

Mereka telah disoal siasat Mei lalu atas tuduhan rasuah dan menerima komisyen membabitkan berjuta-juta Euro.

Siasatan di Perancis dilancarkan pada 2010 atas inisiatif dan aduan dari pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram.

Tiada maklumbalas

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Baki yang dihubungi BeritaBenar tidak memberi sebarang maklumbalas berkaitan desakan daripada dua ngos itu.

Siasatan di Perancis berkisar kepada tindakan pembuat kapal selam Perancis yang membayar komisyen lebih daripada €114 juta (RM570 juta) kepada sebuah syarikat pesisir pantai yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, penganalisa politik yang juga rakan Najib.

Pembelian kedua-dua kapal selam itu telah mencetuskan lebih kontroversi di Malaysia berikutan pembunuhan seorang model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006, teman wanita Razak, yang bertindak sebagai perantara di dalam pembelian kapal selam itu.

Altantuya didakwa menuntut bayaran atas peranannya sebagai penterjemah semasa proses pembelian itu, dan dibunuh dengan kejam pada November 2006. Dua pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh model berkenaan.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan bahawa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia [TLDM] Teluk Sepangar sejak 17 September 2009 manakala KD Tun Razak yang tiba di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 2 Julai 2010, telah berada di pangkalan itu sejak 15 Julai 2010.

Kedua-dua buah kapal selam milik negara itu dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru berpandu jarak jauh anti kapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah permukaan air.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.