Malaysia Kekal SOSMA Lima Tahun lagi
2017.04.05
Kuala Lumpur

Malaysia terus mengekalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang memberi kebenaran kepada pihak berkuasa menahan individu disyaki terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara selama 28 hari tanpa dihadapkan ke mahkamah, untuk tempoh lima tahun lagi berkuatkuasa 31 Julai ini.
Keputusan itu diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat pada lewat malam Selasa selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed memohon supaya semakan perlaksanaan subseksyen 4(5) di bawah Akta itu dibuat pada sidang dewan berkenaan.
Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia mengumumkan keputusan itu pada pukul 11 malam Selasa selepas sesi perbahasan yang hangat di kalangan wakil kerajaan dan pembangkang.
Usul itu diluluskan melalui undi yang menunjukkan 93 anggota Parlimen menyokong pindaan Akta berkenaan manakala 77 lagi menentang.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed, sejak 2012, jumlah tangkapan SOSMA berjumlah 989 orang.
Agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] melaporkan bahawa Nur Jazlan, ketika menggulung perbahasannya berkata, cadangan untuk melanjutkan tempoh penahanan 28 hari adalah kali pertama ianya dilaksanakan di bawah subseksyen 4(5) sejak Akta itu berkuatkuasa mulai 31 Julai 2012.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada Rabu menegur Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kerana gagal mengotakan janji untuk memperbaiki dan memberi pengawasan terhadap Akta berkenaan yang dilihat boleh disalahgunakan.
Presiden Suhakam Razali Ismail dalam satu kenyataan berkata Najib tidak menepati janji untuk memberi beberapa langkah perlindungan termasuk mewujudkan satu jawatankuasa pentadbiran dalam menambah baik Akta berkenaan seperti dalam ucapannya, dalam bacaan kedua SOSMA di Parlimen pada 16 April, 2012.
“Selain daripada Agensi Kerajaan, Presiden Majlis Peguam dan Suhakam juga akan dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa. Namun janji tersebut tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Razali menegaskan adalah penting “kuasa luar biasa” SOSMA yang merupakan perintah daripada persetujuan awam perlu terhad kepada tujuan yang dimaksudkan.
SUHAKAM ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 tetapi hanya mengadakan mesyuarat pertamanya pada 24 April 2000. Ia sebuah badan bertujuan untuk menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkaitan hak asasi untuk menyebarkan kesedaran, memberi nasihat dan membantu kerajaan dalam menggubal undang-undang dan prosedur, selain menjadi berunding di peringkat antarabangsa berkaitan isu berkenaan.
Laporan terperinci
Tambah Razali, undang-undang SOSMA perlu tertakluk kepada pemeriksaan yang betul dengan setiap kes tahanan memerlukan pengawasan kehakiman agar tidak disalahgunakan.
“Ia telah disuarakan oleh Suhakam kepada Kementerian Dalam Negeri ketika satu pertemuan pada 29 Mac lepas. Demi ketelusan, Suhakam mencadangkan bahawa setiap tahun satu laporan terperinci mengenai penggunaan SOSMA dikemukakan kepada Parlimen oleh Kementerian Dalam Negeri,” kata Razali.
Sementara itu, Nur Jazlan mempertahankan keputusan itu dengan berkata, Kerajaan Malaysia telah berlaku adil semasa membawa usul berkenaan untuk mendapatkan lanjutan tempoh di Parlimen dan dibahaskan.
Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan anggota Parlimen berbahas dan menilai sama ada SOSMA telah digunakan secara betul atau salah, berjaya jaga keselamatan negara atau tidak.
“Tempoh tahanan selama 28 hari ialah tempoh maksima dan tidak bermakna individu akan ditahan sepanjang tempoh itu. Sebagai contoh, Maria Chin Abdullah (Pengerui Bersih) ditahan hanya 10 hari sahaja. Selain itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga datang melawat tahanan selepas tiga hari untuk memeriksa keadaan mereka," tambah Nur Jazlan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri itu juga memberitahu, sejak 2012, seramai 989 orang telah ditangkap di bawah SOSMA, berdasarkan statistik dari 2012 hingga 2017. Daripada jumlah itu seramai 363 orang dibebaskan, jadi tidak betul dakwaan akta itu tidak adil.
"Selain itu 139 telah dibicarakan dan 502 telah dijatuhkan hukum, bermakna 50 peratus dihukum. Adakah ini satu kegagalan polis? Tidak, berdasarkan cabaran yang dihadapi hari ini," katanya kepada media tempatan Malaysia pada Rabu.
Bagaimanapun Pengarah Eksekutif, Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menegaskan bahawa SOSMA merupakan undang-undang yang kejam untuk dikuatkuasakan ke atas individu yang sepatutnya tidak perlu.
Katanya, walaupun undang-undang itu pada asalnya hanya akan dikuatkuasakan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti militan atau pengganas tetapi nampaknya ia meliputi pelbagai pesalah, daripada yang terlibat dalam pemerdagangan manusia hinggalah kepada jenayah terancang.
Malahan katanya, pejuang-pejuang hak asasi manusia juga tidak terkecuali seperti mana yang dihadapi Pengerusi Bersih Maria Chin untuk "aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen;” Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang kerana didakwa melancarkan "sabotaj" pilihan raya bebas serta melaporkan tentang 1MDB kepada agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa; sementara Zunar pula ditahan di acara kutipan dananya dan disiasat di bawah SOSMA.
“Pelbagai organisasi masyarakat sivil juga telah tertakluk kepada siasatan di bawah akta yang sama. Baru-baru ini, pelajar Siti Noor Aishah ditahan semula di bawah SOSMA kerana memiliki buku yang tidak diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada BeritaBenar.
Namun seorang Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Ibrahim memberitahu BeritaBenar bahawa perlu diberi perhatian majoriti mereka yang ditahan di bawah SOSMA terlibat dalam kegiatan keganasan, iaitu tujuan utama akta tersebut diperkenalkan.
“Bagi membuktikan aktiviti keganasan, terutama sekali yang melibatkan perancangan, memerlukan siasatan yang terperinci termasuk memerlukan masa yang agak lama,” ujar beliau.
Azmi menegaskan, peruntukan tahanan reman selama tujuh hari tidak cukup untuk pegawai penyiasat menjalankan tugas dengan rapi.
Perlu diingatkan, katanya, SOSMA juga adalah adalah undang-undang untuk mencegah aktiviti keganasan, dan sebab itu tempoh penahanan 28 hari dianggap wajar.