Badan Bukan Kerajaan Sokong Mansuh Undang-Undang Keselamatan Kontroversi
2018.07.26
Kuala Lumpur, Malaysia

Anggota keluarga individu yang ditahan dibawah akta keselamatan kontroversi Malaysia – SOSMA menyambut baik usaha kerajaan baharu yang mahu memansuhkan undang-undang itu, dengan pihak pembangkang mempertahankan tindakan kerajaan terdahulu.
Seramai 300 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 60 keluarga yang terlibat dalam undang-undang antikeganasan kontroversi yang menggelar kumpulan mereka ‘Desak Sampai Mansuh’ atau DSM berkata keputusan kerajaan baharu untuk memansuhkan akta itu adalah sesuatu yang dialu-alukan.
DSM yang diketuai oleh Mahathir Rahman berkata, setiap tangkapan perlu ada pendakwaan yang adil dan telus serta dikenakan hukuman yang seimbang.
“SOSMA telah disalahgunakan kerana akta tersebut tidak seimbang, adil ataupun telus serta tidak memberi ruang untuk mempertahankan diri. Oleh itu ianya perlu dimansuhkan dan kami menyokong pengumuman Perdana Menteri untuk memansuhkannya, ” kata Mahathir Rahman kepada BeritaBenar pada Khamis.
Kumpulan itu turut mendakwa mereka mendapat sokongan daripada anggota Parlimen termasuk Menteri Undang-undang Hanipa Maidin.
“Kaum keluarga tahanan tidak diberi akses kepada maklumat daripada pihak pendakwaan dalam perbicaraan,” kata Mahathir Rahman. Abangnya telah ditahan di bawah akta itu pada 2016.
Presiden UMNO yang juga Ketua Pembangkang, Ahmad Zahid Hamidi, mempertahankan akta berkenaan dengan berkata bahawa pembatalan undang-undang itu akan menimbulkan provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial.
“UMNO memandang berat cadangan untuk memansuhkan akta berkenaan, yang digubal untuk menjaga ketenteraman,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri berkata, SOSMA berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di mana pesalah SOSMA tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
Malah katanya, ada peruntukan seperti perbicaraan yang perlu diadakan di Mahkamah Tinggi. Sementara, pesalah ISA tidak dibicara selama dua tahun, pesalah di bawah SOSMA hanya ditahan selama 28 hari saja, dan kemudian perlu dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.
Katanya lagi, kerajaan terdahulu tidak pernah memikirkan keuntungan politik dalam menggubal undang-undang yang difikirkan perlu untuk menjaga kepentingan warganegara, malah sedia menggunakan pendekatan tidak popular ini demi ketenteraman awam.
Mahathir Rahman berkata, abangnya L/Koperal Mustaza Rahman, seorang mekanik polis dari Kedah telah didakwa kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Negara Islam yang dikenali sebagai “Gagak Hitam” pada 2016.
Mustaza dikatakan berhubung dengan militan IS Muhammad Wanndy Mohamed Jedi melalui aplikasi Telegram dan telah dihukum penjara selama 12 tahun.
Mahathir turut mendakwa yang abangnya itu tidak bersalah sambil memaklumkan bahawa salah seorang saksi yang dibawa ke mahkamah adalah seseorang yang tidak bernama dan tidak dapat dilihat.
"Saksi itu tidak dinamakan, kita tidak tahu latarbelakangnya dan sepanjang perbicaraan hanya mendengar suaranya. Inilah pendakwaan yang dibuat terhadap adik saya," tambah beliau.
SOSMA prosedur jenayah luar biasa
Eric Paulsen, Pengarah Undang-undang kumpulan hak asasi manusia Fortify Rights dalam satu kenyataan mengatakan bahawa SOSMA adalah undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa menjalankan prosedur luar biasa terhadap suspek yang didakwa di bawah akta itu.
"Bukti yang tidak boleh diterima dalam perbicaraan jenayah, boleh diterima dalam perbicaraan SOSMA seperti pengakuan paksa, atau bukti rahsia. SOSMA pada dasarnya menyediakan perbicaraan palsu," tegas Eric.
Selain Mahathir, ibubapa seorang tahanan bernama Muammar Gaddafi yang ditahan pada 2014 kerana memberi latihan militan turut merungut mengenai nasib anak mereka yang telah dikenakan hukuman penjara tambahan daripada lima tahun ke 15 tahun selepas pihak pendakwa raya membuat rayuan.
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, yang pernah ditahan dibawah akta itu mengecam kenyataan Ahmad Zahid dengan meminta presiden UMNO itu untuk “memberi perhatian mendalam terhadap sejauh mana SOSMA dan undang-undang serupa yang lain telah melanggar hak asasi seseorang individu."
SOSMA adalah satu contoh utama perundangan yang menggalakkan kemerosotan terhadap hak asasi manusia termasuk penyiksaan mental dan fizikal.
Ahmad Zahid sepatutnya menyedari bahawa SOSMA merampas hak individu untuk perbicaraan yang adil dengan penangkapan yang dilakukan tanpa sebarang sebab, serta menggugat hak untuk keadilan, tegas Maria yang juga mewakili Petaling Jaya, Selangor, sebagai anggota parlimen.
Ibu kepada tiga orang anak itu menambah bahawa masyarakat perlu mempertimbang dan melihat nasib keluarga individu yang ditahan di bawah SOSMA kerana keluarga mereka dilarang sama sekali untuk melawat.
Selain daripada SOSMA, kerajaan baharu juga menyatakan komitmen untuk memansuhkan akta kontroversial yang lain seperti Akta Hasutan, dan Akta Majlis Keselamatan Negara yang memberi kerajaan kuasa untuk mengisytiharkan 'zon keselamatan' dengan kuasa yang meluas kepada pihak keselamatan negara untuk menangkap, mencari dan menyita tanpa waran.
Seramai 979 individu telah ditahan di bawah SOSMA sejak ia diperkenalkan pada 2012.