Kapal Tangki Malaysia Dirompak Lanun
2015.06.15

Kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan petrol bernilai RM21 juta ($5.6 juta) yang hilang sejak Khamis lepas, dipercayai dilarikan lanun ke Kepulauan Natuna dan Anambas di Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kesemua petunjuk siasatan awal ke atas kehilangan kapal tangki itu, menjurus kepada kes rompakan di laut.
"Kemungkinan yang paling besar, kapal itu juga berada berhampiran dengan Kepulauan Natuna dan Anambas, di antara perairan Laut China Selatan dan Laut Natuna di Indonesia," katanya yang tidak menolak kemungkinan kapal itu disembunyikan di perairan kepulauan itu.
Beliau berkata, kapal tangki itu terputus hubungan ketika berada di kedudukan 31.5km (17 batu nautika) dari Pulau Aur, di antara perairan Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor sejak pukul 8.54 malam Khamis.
"Berdasarkan kepada kelajuan kapal, dalam perkiraan kami, kapal itu akan berada di perairan Vietnam jika ia bergerak ke utara dan jika ia bergerak ke arah timur, ia akan berada di perairan Kota Kinabalu, Sabah pada petang Isnin.
"Tetapi sehingga kini, kita tidak dapat mengesan kapal tangki itu, di perairan Sabah dan Sarawak, jadi ada kemungkinan besar ia masih berada di Laut China Selatan dan di kawasan berhampiran,” jelas beliau pada persidangan media di Putrajaya pada Isnin.
"Dan jika sebelum sampai di perairan Sarawak kapal itu membelok ke kanan ia akan ke Pontianak (Kalimantan) atau lebih jauh ke Tanjung Priok berhampiran Jakarta.
Maklumkan Negara Asean
Ahmad Puzi berkata pihak berkuasa Indonesia telah dimaklumkan mengenai perkara ini bagi membolehkan pelepasan diberikan kepada kapal Malaysia memasuki perairan mereka untuk menjalankan carian.
Beliau berkata agensi penguatkuasaan maritim itu, dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengepung jalan keluar di perairan negara dan telah menghubungi pihak berkuasa maritim dalam negara anggota ASEAN, selain mendapatkan kerjasama dari Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mencari kapal tangki yang hilang itu.
Ahmad Puzi berkata agensi penguatkuasaan itu menerima laporan daripada syarikat perkapalan tentang kapal tangki yang hilang pada pukul 6.30 pagi Jumaat lalu.
Sementara itu, agensi Berita Nasioal Malaysia melaporkan Ahmad Puzi sebagai berkata tiada panggilan kecemasaan yang diterima daripada kapal itu, selain tiada tanda ia menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.47 malam itu.
"Jikakalau kapal bocor sekalipun, mesti kru kapal sempat membuat panggilan kecemasan. Jika karam atau kemalangan pasti ada tumpahan minyak.
Ahmad Puzi juga menolak kemungkinan kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan memandangkan sehingga 3.30 petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.
Beliau turut mendedahkan, kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, sedang belayar dari Melaka ke Kuantan semasa hilang, membawa 6,000 tan petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Katanya, kapal tangki itu, turut membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk Kaptennya Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
Beliau berkata, cubaan untuk menghubungi kapal itu gagal setakat ini dan ia masih tidak berjaya dikesan biarpun dilengkapi dengan pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan kedudukan.
Rompakan kapal keempat di Laut China Selatan
Ahmad Puzi berkata kehilangan kapal MT Orkim Harmony adalah kes keempat di Laut China Selatan pada tahun ini dengan tiga daripada kes itu merupakan rompakan.
Menurut beliau, berdasarkan modus operandi kes rompakan terdahulu, muatan minyak akan dipindahkan ke kapal lain di tengah laut dan kru akan dilepaskan untuk mengendalikan semula kapal tersebut ke pelabuhan berhampiran.
Sebuah kapal tangki Malaysian yang membawa muatan diesel telah dirompak pada 4 Jun lepas, di perairan yang sama dan kapal itu dibebaskan selepas muatan dirompak.
Bagaimanapun, katanya, muatan petrol RON95 dibawa kapal MT Orkim Harmony adalah sukar dan berisiko untuk dipindahkan memandangkan ia mudah terbakar.
"Kami percaya mereka masih mencari kemudahan untuk memindahkan minyak kepada pelanggan mereka," kata Ahmad Puzi sambil menambah bahan bakar kapal itu boleh bertahan selama 22 hari.
Dalam laporan berasingan oleh Bernama, Pengarah Operasi APMM Ibrahim Mohamad berkata operasi pencarian diteruskan dengan meliputi kawasan seluas 20,000 kilometer persegi melibatkan Tanjung Penawar hingga ke Mersing seterusnya melangkaui sempadan perairan Malaysia dan negara jiran.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran melibatkan 10 buah kapal, tiga bot dan satu pesawat milik APMM dan TLDM dengan kira-kira 1,500 anggota, meliputi kawasan pencarian seluas 50,000 kilometer persegi sedang diteruskan.
Ibrahim berkata, pihaknya turut memanjangkan maklumat mengenai kehilangan kapal itu kepada Singapore Police Coast Guard dan juga Indonesia Badan SAR Nasional (BASARNAS) serta Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLARI).
Selain itu, maklumat kehilangan kapal berkenaan turut dimaklumkan melalui Nevtext kepada kapal-kapal lain dalam pelayaran bagi membantu mengesan kapal tersebut, katanya.
Panglima TLDM Abdul Aziz Jaafar berkata, TLDM menghantar tiga buah kapal iaitu KD Terengganu, KD Pendekar dan KD Ganyang dalam operasi itu.
Sementara itu Bernama melaporkan, Habibah Baharom dari Kuala Kedah berdoa untuk keselamatan anaknya, Muhammad Aiman Shafiz, 20 yang menjalani latihan praktikal di atas kapal yang hilang itu.
Muhammad Aiman sedang menuntut di Politeknik Ungku Omar di Ipoh dalam peringkat Diploma Kejuruteraan Kapal dan dalam latihan praktikal selama enam bulan.
"Kami sekeluarga menghantarnya pada 27 haribulan lepas di stesen bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk ke Kuala Lumpur. Itulah kali terakhir, saya berjumpa dengannya,
"Saya tidak mahu apa-apa, hanya anak makcik ditemui dan selamat. Itu adalah harapan makcik sekeluarga," kata Habibah.
Beliau berkata, pihak pengurusan syarikat pemilik MT Orkim menghubungi suaminya dua hari lepas bagi memaklumkan tentang kehilangan kapal tangki terbabit.
Syarikat pemilik kapal itu menurutnya memaklumkan mereka terputus hubungan dengan MT Orkim dan gagal dikesan oleh radar.
"Aiman memang minat dengan bidang perkapalan," katanya sambil menambah, sepanjang pengajiannya di politeknik itu anaknya memperolehi keputusan cemerlang dengan purata gred terkumpul mencecah 3.5 mata.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib berkata beliau berasa sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki itu dan berdoa semoga semua kru dalam kapal tersebut berada dalam keadaan selamat.
"Saya sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki milik Malaysia itu. Saya berdoa semoga 22 kru yang 16 daripadanya ialah warga Malaysia berada dalam keadaan selamat,
"Doa saya adalah bersama keluarga masing-masing. Kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki itu," katanya menerusi catatan terbaru beliau dalam laman Twitter dan Facebook pada Isnin.
Hanis Aleeya Ramly menyumbang kepada laporan ini