FBI: Kematian Pengganas Paling Dikehendaki dari Malaysia Belum Disahkan
2015.03.02

Lebih daripada sebulan selepas tentera kerajaan Filipina mendakwa mereka telah membunuh salah seorang pengganas yang paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) – Zulkifli bin Hir dari Malaysia yang juga dikenali sebagai Marwan – pihak FBI berkata mereka masih menjalankan ujian biologi untuk mengesahkan kematiannya.
"Ujian selanjutnya masih belum muktamad untuk mengesahkan sampel DNA yang padan sepenuhnya dengan Marwan," Laura Eimiller, jurucakap pejabat FBI di Los Angeles memberitahu BenarNews minggu lalu melalui telefon dari selatan California.
"Keputusan akan diberikan kepada penyiasat dan juga rakan penguatkuasaan undang-undang kami di Filipina," tambah beliau.
Semasa sidang media, biro tersebut masih belum mengeluarkan profil Marwan daripada senarai "Pengganas Paling Dikehendaki".
Laporan sebelumnya terbukti palsu
FBI tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana ini bukan kali pertama Manila melaporkan bahawa tentera mereka telah membunuh Marwan. Kerajaan Amerika menjanjikan ganjaran AS$5 juta untuk tawanan Marwan.
Tiga tahun yang lalu, kerajaan Filipina mendakwa mereka telah membunuh Marwan dalam satu serangan udara ke atas selatan Pulau Jolo.
Marwan terselamat dalam serangan udara tersebut tetapi pemimpin tempatan daripada kumpulan al-Qaeda yang ada kaitan dengan Abu Sayyaf dan juga Jemaah Islamiyah mengusir Marwan dari situ kerana bimbang dia boleh menarik serbuan-serbuan daripada tentera kerajaan, Associated Press melaporkan.
Marwan dilahirkan di Muar, sebuah bandar di tepi pantai yang menghadap Selat Melaka di negeri Johor, Malaysia. Dia mendapat latihan kejuruteraannya dari Amerika Syarikat. Namun, dia kemudian menjadi salah seorang pengganas yang paling dikehendaki di Asia Tenggara dan merupakan suspek utama dalam pengeboman Bali 2002.
Mengikut profil FBI, Marwan, berusia 48 atau 49 tahun, melarikan diri selepas melakukan serangan pengeboman yang mengorbankan 202 orang. Maklumat tambahan dalam profil Marwan ialah dia merupakan ketua pertubuhan pengganas Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan juga anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang berpangkalan di Indonesia.
Manila kini mendakwa bahawa komando polis mereka telah membunuh pembuat bom yang disyaki terlibat dalam serangan di Bali itu dalam satu serbuan di selatan Filipina pada 25 Januari yang lalu.
Selepas komando polis Filipina membunuh Marwan, mereka memotong salah satu daripada ibu jarinya sebagai contoh DNA dan mereka juga mengambil gambar mayatnya yang berlumuran dengan darah. Filipina menghantar contoh DNA tersebut kepada FBI untuk ujian makmal.
Pada 4 Februari yang lalu, pejabat FBI di Los Angeles mengeluarkan kenyataan awal yang menyatakan bahawa analisis DNA menunjukkan ibu jari tersebut milik Marwan tetapi ujian lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan padanan DNA yang sah, AP melaporkan.
"Walaupun keputusan ujian DNA tidak menunjukkan pengenalanpastian yang mutlak, keputusan tersebut menyokong contoh biologi yang diberikan oleh pihak berkuasa Filipina itu adalah milik Marwan," kata David Bowdich, Penolong Pengarah pejabat FBI dalam kenyataannya.
Satu pengorbanan yang besar
Pada masa Filipina meraikan kejayaan membunuh Marwan, mereka juga berkabung kerana kehilangan 44 anggota Pasukan Tindakan Khas (SAF) yang terlibat dalam operasi ke bandar Mamasapano di wilayah Maguindanao untuk memburu Marwan. Komando-komando mereka terbunuh kerana terperangkap dalam pertempuran dengan puak pemberontak Moro apabila mereka berundur dari kawasan paya di sekitar Mamasapano, menurut laporan berita dan media Filipina.
Pertempuran tersebut mengakibatkan kematian 18 anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan lima orang awam tetapi keadaan menjadi reda apabila Pasukan Pemantau Antarabangsa Malaysia campur tangan, menurut Philippine Star.
Komando-komando SAF telah memasuki zon berbahaya untuk memburu Marwan dan Abdul Basit Usman iaitu seorang pengganas Filipina yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan pengeboman di selatan Filipina. Abdul yang berada di kawasan itu pada masa serbuan Berjaya melarikan diri.
"Operasi memburu Marwan berjaya. Namun, kejayaan merupakan satu pengorbanan yang besar," kata Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III dalam ucapan yang disiarkan melalui stesen televisyen di negara itu pada 6 Februari yang lalu.
"Saya bapa kepada negara ini dan 44 anak buah saya telah terbunuh. Mereka tidak lagi boleh dikembalikan. Tragedi ini berlaku semasa tempoh perkhidmatan saya dan saya akan membawa tragedi pahit ini sehingga akhir hayat saya," Aquino sambung berkata – mengikut transkrip ucapan beliau.
"Pengganas seperti Marwan dan Usman membunuh orang yang tidak bersalah tanpa teragak-agak atau rasa kesal. Sebab inilah operasi untuk menghapuskan mereka sememangnya berbahaya. Marwan ialah seorang pengganas antarabangsa dan telah lama diburu bukan sahaja oleh kami tetapi juga oleh negara-negara lain. Seperti yang dijangkakan, mereka tidak menurut perintah apabila dikeluarkan waran tangkap."